masterwan batik

Tuesday 22 February 2011

Batik Malaysia Menongkah Cabaran

Batik Malaysia sekali lagi menghadapi satu cabaran berpunca persepsi individu bagi mencapai agendanya sendiri. Umumnya, rakyat Malaysia yang sayangkan negara sendiri sebagai tanah tumpah darah sepatutnya memiliki rasa menghargai batik tempatan sebagai khazanah seni warisan budaya dan kraftangan yang sudah lama bertapak di negara ini. Penjelmaannya dalam masyarakat tempatan sejak dahulu adala terhasil daripada perkembangan kehalusan budaya dan pemikiran Melayu yang diamalkan dan bermanfaat dari satu generasi ke satu generasi. Ia tidak wujud dalam masa yang singkat. Ia melalui proses masa yang lama, lantaran perlu dipertahankan. Menurut A. Samad Said, khazanah seni kraftangan klasik banyak cerita tentang semangat, budi dan kecegasan mental sesuatu bangsa....bagi setiap keindahan mesti bersebab dan perlu berfungsi betapa sulit pun dihuraikan rahsianya.
Penghasilan batik di Malaysia seharusnya dihayati signifikannya. Sokongan dan penghargaan daripada pelbagai pihak sewajarnya wujud secara spontan di kalangan warga tempatan. Pemahaman tentang ilmu budaya, seni dan kraftangan batik - seni, budi dan daya (menjadi budaya), akal dan kreativiti - di kalangan masyarakat tempatan melalui pendidikan di peringkat sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi yang sedia ada sudah mencukupi bagi menyedarkan semua pihak menghayati dan menghargai seni kraftangan batik khususnya.
Corak, teknik, kebolehan, kemahiran, tekun dan kreativiti berupaya menghasilkan batik yang menarik, cantik dan berkualiti. Untuk menghasilkan batik yang cantik dan menawan adalah tertakluk kepada beberapa faktor. Pertama, cost and effect. Hasil batik akan menjadi lebih cantik dan berkualiti sekiranya material yang digunakan baik.  Material yang baik tentu harganya lebih mahal.
Hasil batik yang mempunyai corak dan jalinan pada ruang dan rupa boleh menghasilkan spectacle. Hasil batik yang mencapai tahap ini setentu membawa implikasi harga yang lebih mahal. Berbanding dengan harga pasaran yang mendesak dan persaingan yang hebat tidak akan membantu pengusaha batik sekiranya batik yang dibuat secara teliti dan cantik dijual dengan harga yang murah. Ini akan membawa kepada time and effect.   Walaupun pengusaha batik mengejar kuantiti pengeluaran tetapi kualiti dan identiti batik tetap dipertahankan sebagai kraftangan.
Adalah tidak mudah menghasilkan batik tanpa ilmu dan kemahiran. Seseorang pelukis memerlukan kemahiran yang tinggi dalam melakar corak batik dengan menggunakan canting dan lilin panas. Lilin tersebut akan terus keluar melalui muncung canting bagi menghasilkan corak pada satah kain. Sekiranya ia dilukis dengan menggunakan pen, pensil, atau mana media lain, lebih mudah kerana boleh dipadam sekiranya ada kesilapan.  Corak daripada mencanting tidak boleh dipadam. Kalau tersilap corak itu akan rosak.  Namun pelukis batik terus berjaya menghasilkan lakaran corak batik dengan lancar dan menepati sifat dan unsur seni corak seperti titik garisan, rupa, ruang, warna dan jalinan. Dalam mengaplikasikan corak tersebut ilmu yang patut ada pada pelukis tersebut adalah kemahiran tentang prinsip rekaan, iaitu, penegasan, pengulangan, atau irama, pergerakan, kesatuan, imbangan (semetri/tidak semetri, kontra, kepelbagaian dan harmoni. Inilah yang dikatakan ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh pereka atau pelukis batik.   
Terdapat terlalu banyak batik yang cantik dan menawan dalam pasaran.  Pengeluar atau pengusaha batik yang berdaya saing telah mengkaji dan menghasilkan pelbagai jenis batik bagi memenuhi selera pelanggan. Hasil daripada perkembangan ilmu dengan wujudnya institusi pengajian tinggi awam dan swasta menggalakkan lagi kreativiti Batik Malaysia menghasilkan corak yang dapat memenuhi selera pelanggan. Berbekalkan ilmu pengetahuan, pendedahan dan kreativiti, batik Malaysia mengorak ke hadapan dengan menjelmakan motif, corak dan teknik yang pelbagai. Corak-corak semi-abtrak, abstrak, flora-fauna, geometrikal, organik dan sebagainya dilafazkan dengan teknik melilin seperti mencanting, renjisan, sapuan, cop, celupan dan stensil. Semua teknik ini masih mengekalkan keaslian batik menggunakan lilin yang bertindak sebagai resist, menghalang warna diterapkan pada kain sehingga berjaya menghasilkan corak.
Batik lukis menjadi milik dan kebanggaan semua.  Menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan kesinambungannya dengan pelbagai pendekatan seperti pemakaian batik, sebaran maklumat, bahan promosi dan sokongan moral. Setiap warganegara perlu berfikir dan berpegang kepada jatidiri yang mantap dan berwawasan. Mereka perlu berfikir dan bertindak untuk peluang-peluang yang perlu dibuka dan diterokai pada masa hadapan. Sekiranya pelancong negara lain boleh menghormati dan menyukai batik Malaysia, kenapa tidak kita. Pengalaman Wan Mahtar Wan Salleh sebagai pelukis batik yang telah mempromosikan batik dan kraftangan di luar negara anjuran Tourism Malaysia seperti di Mesir, Kanada, Jepun, Australia, Hong Kong dan Filipina mendapati bahawa batik Malaysia dikagumi oleh masyarakat antarabangsa kerana mempunyai identitinya sendiri. Booth demontrasi batik dikunjungi ramai dan sentiasa mendapat perhatian pengunjung.
Usaha untuk merancakkan perniagaan batik Malaysia terus mendapat sokongan kerajaan melalui agensinya, Kraftangan Malaysia. Melalui Pekeliling Perkhidmatan Awam, kerajaan telah menetapkan supaya pegawai dan kakitangannya memakai pakaian BATIK pada setiap hari Khamis. Namun pelaksanaannya tidak berkesan kerana penjawat awam memakai pakaian TEKSTIL bukan BATIK. Tekstil ini dicetak dengan corak batik yang ditiru daripada hasil usaha pembatik tempatan. Suatu yang menyedihkan tekstil peniruan corak ini mendapat tempat di kalangan orang tempatan atas sebab murah. Secara tidak disedari kita memberi keuntungan berganda kepada negara pengeksport dan merugikan negara. Pemakaian tekstil inilah yang menyebabkan dan dikatakan JELEK.
Pengusaha batik seharusnya mendapat sokongan daripada semua pihak samada kerajaan, swasta atau individu dengan menyedari bahawa BATIK adalah satu-satunya warisan dan identiti yang perlu disokong dan dikekalkan. Pengusaha juga sewajarnya membuat kajian pasaran secara strategik tentang cara menghasilkan dan memasarkan produk batik secara meluas dan berkesan. Meledakkan pelbagai produk batik dengan corak yang sesuai dengan permintaan dan citarasa semasa khususnya pakaian merupakan usaha yang perlu diberi perhatian dan sokongan oleh semua pihak. Jadikan MALAYSIA sebagai HAB BATIK serantau dan antarabangsa.  

MasterWan Batik

No comments:

Post a Comment