masterwan batik

Sunday 27 February 2011

Talk About Batik

KOTA BAHARU, 29 Mac  -- Kunjungan ke negeri Kelantan tidak akan lengkap jika seseorang tidak mengunjungi Bazaar Buloh Kubu yang mempamerkan produk batik rekaan rakyat Kelantan.
"Saya telah berada di sini lebih daripada dua dekad...perniagaan tidak sebegitu baik seperti dahulu kerana sekarang terlalu banyak batik yang datang dari negara lain," kata Zainab Abu Bakar yang mengusahakan tiga buah kedai batik di kompleks itu.
Peniaga yang berusia 52 tahun itu berkata kedatangan batik dari negara-negara seperti Thailand, Indonesia dan China sedikit sebanyak menjejaskan perusahaan batik tempatan di negeri ini.
Anggaran kasar keluaran batik di Kelantan dalam setahun bernilai RM10 juta. Pengeluar batik yang berdaftar dengan Persatuan Pembatik Melayu Pantai Timur kini seramai 393 anggota, namun yang aktif hanya kira-kira 150 pengusaha.
Antara pengusaha yang paling terkenal di Kelantan ialah Nordin Batik dan Razali Batik di Jalan Pintu Geng dan Samasa Sdn Bhd di Jalan Sultanah Zainab di sini.
Terdapat juga perusahaan batik di daerah lain seperti Pasir Mas dan Bachok, namun kebanyakannya dilakukan dalam skala yang kecil.

SOKONGAN KERAJAAN

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia Kelantan, Zulkifli Mamat berkata walaupun Kelantan terkenal sebagai pusat penghasilan batik dan songket bermutu tinggi namun ia masih belum terkedepan dari segi penjualan produk akhir.
"Walaupun telah ada pengusaha yang mengambil inisiatif sendiri dan ramai di antaranya telah berjaya menjadi usahawan, masih belum ramai pengusaha batik dan songket di Kelantan menjual produk mereka sebagai produk akhir sedangkan mereka mampu menghasilkan produk sedemikian."
"Contohnya, pakaian siap dengan fesyen yang sesuai dengan permintaan semasa yang boleh dijual dengan harga berkali ganda berbanding kain yang belum dijadikan baju," katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri mahu meningkatkan peranan sebagai 'orang tengah', memperkenalkan pengusaha kepada profesional seperti pereka fesyen terkenal demi untuk mempromosi batik dan songket.
Menurutnya, Kelantan akan menggunakan apa saja cara untuk mempromosi produk berkenaan asalkan tidak bercanggah dengan tuntutan Islam.

PERTUNJUKAN FESYEN

"Kita mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak yang berminat untuk mengadakan pertunjukan fesyen pakaian di negeri ini. Kerajaan negeri sendiri bercadang mengadakan pertunjukan fesyen pakaian berasaskan Islam di Kelantan selewat-lewatnya Julai ini," jelasnya.
Zulkifli berkata untuk itu, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pihak swasta dan beberapa institusi pengajian tinggi awam untuk mengadakan pertunjukan fesyen berasaskan batik dan songket buatan tempatan.
Selain itu, katanya pihaknya juga merancang pergi lebih jauh dengan menyertai pertunjukan fesyen Islam di Vienna, Itali, antara pusat fesyen dunia tersohor, selewat-lewatnya tahun depan.
Pada Okt lepas, Kelantan yang diperintah Pas, parti yang dianggap sesetengah pihak terlalu konservatif, pernah mengadakan pertunjukan fesyen wanita secara tertutup.
Ia hanya terbuka kepada penonton wanita dan pakaian yang diperagakan model-modelnya menutup aurat.
"Kelantan tak pernah halang, malah kita mengalu-alukan jika ada pihak yang ingin adakan pertunjukan fesyen. Mereka boleh datang jumpa saya. Kita boleh bincang bagaimana untuk jadikan Kelantan pusat fesyen Islam bertaraf dunia," katanya.

BATIK TEMPATAN

Hasrat kerajaan negeri itu disambut baik oleh pengusaha batik tempatan, Nordin Mahmood yang merupakan salah seorang pengusaha batik terkenal di sini.
Pemilik Nordin Batik Sdn Bhd yang terletak di pinggir bandar Kota Baharu itu berkata cadangan kerajaan negeri itu umpama 'pucuk dicita, ulam mendatang' dan sememangnya sesuatu yang amat ditunggu-tunggu pengusaha batik tempatan.
"Memang kita setuju sangat jika kerajaan negeri ingin memainkan peranan yang lebih dalam mempromosikan batik dan songket ini. Ini kali pertama saya dengar kerajaan negeri berminat dalam hal ini."
"Sejak dulu, usaha mempromosi batik selalunya kita lakukan secara bersendirian. Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lepas, Pusat Kraftangan di Kuala Lumpur mula mengambil berat dan membantu mengembangkan lagi industri ini," katanya.
Menurut Nordin, beliau kini turut menjengah pasaran luar negara berikutan terdapatnya permintaan produk batik untuk pasaran seperti di Amerika Syarikat, Perancis dan beberapa negara Eropah.

ASPEK PROMOSI

Menyentuh aspek promosi, Nordin berkata beliau sentiasa turut serta dalam pameran di seluruh negara sebagai satu cara mencari pasaran baru atau mempromosikan rekaan atau produk terbaru. Sebanyak 75 peratus produk yang dijual di gudangnya adalah pakaian siap.
"Baru-baru ini saya telah mengadakan perbincangan dengan pihak yang berminat memasarkan produk batik di negara mereka. Bagaimanapun, saya lebih suka melakukannya dengan berhati-hati kerana tinggi juga risikonya," katanya.
Selain dari corak dan rekaan yang berbeza dari pasaran tempatan, produk untuk pasaran luar juga perlu dilakukan mengikut spesifikasi yang mereka tetapkan.
Jelasnya, industri batik sememangnya kerap mengalami pasang surut, ketika permintaan meningkat, menjanjikan pulangan lumayan namun bila tiada lagi permintaan, banyak pengusaha yang terpaksa gulung tikar.
Industri yang mula bercambah kembali sejak kerajaan memperkenalkan polisi pemakaian batik oleh kakitangan awam pada setiap Sabtu, kini kembali merundum sejak hari Sabtu setiap minggu dijadikan cuti sepenuhnya.
"Memang terasa sekali, terutamanya sejak insan yang paling banyak berjuang untuk menghidupkan semula industri batik, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood, telah tiada." "Jualan saya kini merosot sehingga 50 peratus. Tambahan pula, pemakaian batik kini hanya diwajibkan pada setiap 1 dan 15 haribulan setiap bulan. Kadang-kadang tarikh berkenaan (1 dan 15 haribulan) jatuh pada hari minggu."
"Kebanyakan pelanggan saya yang terdiri daripada kakitangan kerajaan memberitahu, dalam tempoh sebulan, hanya sekali sahaja mereka memakai pakaian batik ke pejabat. Malah, ada yang masih terlupa untuk memakai batik pada hari yang ditetapkan," katanya.
Berhubung perkara itu, katanya Persatuan Pembatik Melayu Pantai Timur yang mempunyai 393 anggota berdaftar baru-baru ini telah menghantar satu memorandum kepada Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan memohon kerajaan mempertimbangkan cadangan pemakaian batik sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi membantu industri batik tempatan.

--Bernama

No comments:

Post a Comment